BAHAGIAN SUMBER MANUSIA

 

PENGENALAN

Bahagian Sumber Manusia adalah bahagian sokongan kepada Jabatan Pengurusan. Bahagian ini diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Sumber Manusia) Gred M48. Unit-unit yang berada dibawah Bahagian Sumber Manusia adalah :

1.       Unit Tatatertib

2.       Unit Perjawatan

3.       Unit Perkhidmatan

4.       Unit Latihan

5.       Unit HRMIS / LNPT

1.1   Unit Tatatertib

Mewujudkan satu sistem kawalan / penyelenggaraan Tatatertib yang berkesan dan menimbulkan rasa kesedaran tentang perlunya kawalan Tatatertib dalam jentera pentadbiran untuk menghasilkan kadar prestasi kerja yang tinggi dan mencapai objektif organisasi.

·         Bertanggungjawab menguruskan hal-hal tatatertib kakitangan dan keseluruhannya termasuk melakukan siasatan dalaman secara terperinci.

·         Mengurus segala urusan tindakan tatatertib ke atas kakitangan HSNZ yang melanggar tatakelakuan yang ditetapkan mengikut peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 DU. (A) 246.

·         Membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan secara teratur dan berkesan.

·         Menyediakan dan mengemukakan laporan urusan tatatertib secara berkala kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

1.2   Unit Perjawatan

Menyediakan perancangan sumber manusia di peringkat jabatan yang strategik dan efisien melalui proses pengambilan dan pelantikan kakitangan yang berkualiti, mengurus penempatan, pertukaran, penetapan gaji, pemakaian dan penyemakan skim perkhidmatan.

·         Perancangan sumber manusia melalui penyediaan inventori ramalan dan unjuran keperluan sumber manusia di HSNZ.

·         Melaksanakan perancangan tenaga manusia di peringkat agensi mengikut Garis Panduan Perancangan Tenaga Manusia Sektor Awam 1985 yang dikeluarkan oleh JPA.

·         Menyemak dan memastikan kekosongan jawatan yang perlu diisi dengan segera

·         Pemilihan dan pengambilan kakitangan baru termasuk pemilihan prosedur tawaran jawatan, penyediaan spesifikasi tugas dan senarai tugas.

·         Pelaksanaan skim perkhidmatan seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

·         Melaksanakan sesi tapisan dan saringan permohonan jawatan kakitangan baru dan senarai pendek permohonan.

·         Penempatan dan pertukaran mengikut keperluan dan kepentingan jabatan.

·         Mengemaskini data-data perjawatan dari segi bilangan perjawatan dan pengisian

·         Melaporkan secara berkala data-data perjawatan kepada pihak Pengurusan Hospital dan JPA selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 15/2000.

1.3   Unit Perkhidmatan

Unit Perkhidmatan di Bahagian Sumber Manusia bertanggungjawab dalam menguruskan hal-hal perkhidmatan pegawai. Antaranya ialah :

·         Mengurus segala urusan perkhidmatan kepada pegawai

·         Pelantikan

·         Pengesahan Dalam Perkhidmatan

·         Pemberian Taraf Berpencen

·         Kenaikan Pangkat/Pemangkuan/Tanggung Kerja

·         Permohonan Ke Jawatan Baru

·         Pergerakan Gaji Tahunan dan Pelarasan Gaji

·         Permohonan Cuti Tanpa Gaji dan Separuh Gaji

·         Faedah persaraan dan kematian pegawai

·         Hal-hal lain berkaitan dengan urusan perkhidmatan pegawai

1.4   Unit Latihan

Hospital Sultanah Nur Zahirah telah mewujudkan Unit Latihan secara rasminya pada tahun 2006. Ia bertujuan untuk memantau pelaksanaan setiap latihan dan kursus-kursus semua pegawai di hospital ini. Selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan, tujuannya adalah untuk melatih dan melaksanakan kursus-kursus mengikut kriteria-kriteria tertentu, seterusnya menjana modal insan yang lebih cemerlang.

·         Menyelaras perancangan dan pelaksanaan latihan dalaman serta luaran bagi peningkatan diri dan kerjaya pegawai serta dalam usaha untuk memastikan setiap anggota menghadiri kursus sekurang-kurangnya 7 hari setahun.

·         Unit Latihan juga bertanggungjawab dalam mengendalikan latihan untuk pembangunan sumber manusia kepada anggota HSNZ samada kursus dalaman dan luaran HSNZ.

·         Menguruskan permohonan dan penempatan untuk pelajar-pelajar di institusi awam dan swasta yang ingin menjalani latihan industri dan posting elektif di HSNZ.

·         Unit Latihan juga bertanggungjawab untuk menguruskan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan latihan subkepakaran untuk kenaikan pangkat serta menyelaras urusan pelaksanaan dan pengecualian Program Transformasi Minda (PTM) untuk anggota HSNZ.

1.5   Unit HRMIS / LNPT

Menyelaras dan memantau pelaksanaan HRMIS peringkat agensi, khususnya aktiviti-aktiviti prapelaksanaan, semasa pelaksanaan dan selepas pelaksanaan sesuatu modul/submodul HRMIS.

·         Bertindak sebagai Meja Bantuan HRMIS iaitu menyelesaikan masalah pengguna di agensi berkaitan pengoperasian aplikasi HRMIS dan menguruskan latihan serta membangunkan kepakaran untuk menggunakan aplikasi HRMIS di agensi.

·         Melengkapkan data peribadi dan profil perkhidmatan anggota HSNZ dalam aplikasi HRMIS untuk mencapai KPI (Key Performance Indicator) Pengarah HSNZ dan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

·         Mengemaskini data perjawatan dalam HRMIS berdasarkan perjawatan sebenar termasuk sambut sandang dan putus sandang anggota yang bertukar masuk dan bertukar keluar (penempatan dan pertukaran pegawai).

·         Menguruskan dan menyelia urusan prestasi LNPT anggota HSNZ keseluruhannya mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2002.

·         Menubuhkan Urusetia Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) di peringkat Jabatan dan memastikan pelaksanaan peranan serta fungsinya.

·         Menyediakan data dan maklumat anggota HSNZ untuk pemilihan Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) dan kenaikan pangkat serta pergerakan gaji tahunan mengikut Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bil.2 Tahun 2002.

OBJEKTIF

Objektif Bahagian Sumber Manusia adalah :

  1. Memastikan urusan perkhidmatan dan latihan secara professional diberi kepada 3645 pegawai
  2. Memastikan semua rekod dan kebajikan serta urusan disiplin setiap pegawai dan kakitangan yang terlibat dilaksanakan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
  3. Memastikan pengurusan Unit Sumber Manusia berjalan dengan cekap, teratur dan berkesan.
  4. Mempertingkatkan pengetahuan dan menanamkan sikap positif dikalangan anggota di Unit Sumber Manusia.

FAQ (SOALAN LAZIM)

1. Bagaimana caranya untuk saya memohon latihan industri di HSNZ, Kuala Terengganu?

Pelajar yang berminat untuk menjalankan latihan industri di HSNZ perlu membuat permohonan rasmi bertulis kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Pelajar perlu menyertakan:

  1. Resume pelajar,
  2. Salinan Kad Pengenalan yang telah disahkan,
  3. Sijil-sijil yang telah disahkan (yang berkaitan), dan
  4. Surat pengesahan pelajar IPTA/IPTS/Kolej berkenaan

Permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum latihan bermula.

2. Bagaimana pula caranya untuk saya memohon menjalani Posting Elektif di HSNZ, Kuala Terengganu?

Permohonan rasmi boleh dibuat secara bertulis kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan menyertakan:

  1. Resume pelajar;
  2. Borang Permohonan Menjalani Posting Elektif Di Fasiliti KKM yang boleh didapati di www.moh.gov.my – Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 16/2008;
  3. Surat pengesahan atau sokongan dari Dekan IPTA/IPTS yang berkenaan;
  4. Salinan Kad Pengenalan atau Pasport (bagi bukan warganegara) yang telah disahkan.

Permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum latihan bermula.

3. Bagaimanakah akan saya ketahui jika permohonan saya berjaya?

Surat kelulusan untuk menjalankan latihan industri/Posting Elektif akan dihantar oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang kepada:

  1. IPTA/IPTS/Kolej yang berkenaan;
  2. Pelajar yang memohon;
  3. HSNZ;

Atau

Pelajar boleh menghubungi Unit Latihan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di talian 09-6222866

4. Bagaimanakah saya boleh mendapatkan keterangan  lanjut berkenaan dengan latihan industri/Posting Elektif tersebut?  

Anda boleh mendapatkan maklumat berkenaan dari:
Bahagian Perubatan,

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu,

Tingkat 5, Wisma Persekutuan Kuala Terengganu,

20920 Kuala Terengganu.

No. Tel : 09-6222866

No. Faks : 09-6221499

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan Pengesahan Pelantikan?

PengesahanPelantikan bermaksud proses mengesahkan lantikan seseorang pegawai yang telah bersetuju menerima tawaran pelantikan ke jawatan tetap dan telah memenuhi syarat tawaran.

  1. Apakah tujuan Pengesahan Pelantikan?

Pengesahan Pelantikan diperlukan bertujuan bagi menentukan:

    • seseorang pegawai bersetuju menerima tawaran jawatan;
    • seseorang pegawai yang dilantik telah memenuhi syarat lantikan;
    • tarikh seseorang pegawai mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam;
    • tarikh untuk diberi Pengesahan Dalam Perkhidmatan dan Pemberian Taraf Berpencen; dan
    • pengiraan kekananan untuk tujuan naik pangkat dan faedah persaraan.

7. Apakah dokumen yang diperlukan untuk proses urusan Pengesahan Pelantikan?
Dokumen yang diperlukan untuk Pengesahan Pelantikan adalah:

    • Surat Setuju Terima Pelantikan (Borang SPA 6A);
    • Surat Akuan Sumpah (Borang SPA 6B);
    • Borang Pemeriksaan Perubatan - pegawai yang dilantik ke dalam perkhidmatan awam hendaklah disyaratkan untuk diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat dengan Kerajaan oleh pegawai perubatan berdaftar iaitu mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2013 - Pemeriksaan Kesihatan Bagi Maksud Pelantikan Ke Dalam Perkhidmatan Awam (http://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2013/pp012013.pdf);
    • Penyata Perubahan (Kew. 8);
    • Sijil Pengesahan Tapisan Keselamatan (bagi jawatan yang disyaratkan);
    • Surat Aku Janji (bagi pegawai yang dilantik mulai 01.01.2002);
    • Salinan sijil/diploma/ijazah yang disahkan bagi calon yang belum megemukakannya semasa menghadiri temu duga; dan
    • Dokumen-dokumen lain yang disyaratkan dalam surat tawaran.

Senarai semak bagi urusan Pengesahan Pelantikan boleh diperolehi melalui pautan berikut:
http://www.spa.gov.my/web/guest/Senarai-Semak-Urusan-Perkhidmatan

8. Adakah perlu seseorang pegawai sedang berkhidmat dilantik ke jawatan baru, menjalani semula pemeriksaan kesihatan?

Ya, pegawai yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan semasa di jawatan terdahulu perlu menjalani semula pemeriksaan kesihatan sekiranya dikehendaki oleh Suruhanjaya apabila dilantik ke jawatan baharu iaitu mengikut perenggan 6(b), 7 dan 9 Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2013 - Pemeriksaan Kesihatan Bagi Maksud Pelantikan Ke Dalam Perkhidmatan Awam.

9. Bolehkah pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar di klinik swasta?

Boleh, berdasarkan kepada Perenggan 5, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2013 - Pemeriksaan Kesihatan Bagi Maksud Pelantikan Ke Dalam Perkhidmatan Awam.

10. Bolehkah seseorang pegawai yang sedang berkhidmat dan dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain memohon untuk penetapan gaji permulaan, jika gaji yang diterima dalam skim perkhidmatan yang baru didapati kurang daripada gaji dalam jawatan terdahulu ?

Boleh, namun begitu ianya tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Bagi permohonan pegawai yang sedang berkhidmat di sektor awam, penetapan gaji permulaan adalah tertakluk kepada Peraturan 25(7), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012] dan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2013 - Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum - Maksimum Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia (http://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2013/pp022013a.pdf).
 

11. Bilakah permohonan Pelanjutan Tempoh Percubaan boleh dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ?

Perakuan permohonan Pelanjutan Tempoh Percubaan boleh dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam apabila pegawai gagal untuk disahkan dalam perkhidmatan sebaik sahaja tamat tempoh percubaan asalnya iaitu mengikut Peraturan 30(2), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012].
 

12. Apakah dokumen yang diperlukan untuk pelanjutan tempoh percubaan ?

Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan kepada Suruhanjaya:

    • Perakuan daripada Ketua Jabatan melalui Jadual Ketiga – Borang Perakuan Pengesahan Dalam Perkhidmatan dan Jadual Keempat - Borang Perakuan Pelanjutan Tempoh Percubaan, merujuk kepada - Peraturan 29(2) & (4) dan 30(3), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012] ;
    • Salinan Kenyataan Perkhidmatan yang telah dikemaskini;
    • Surat alasan daripada pegawai tentang kelewatan memenuhi syarat Perkhidmatan; dan
    • Senarai peperiksaan (jika ada) yang telah lulus berserta dengan tarikh.

Senarai semak bagi urusan Pelanjutan Tempoh Percubaan boleh diperolehi melalui pautan berikut:

http://www.spa.gov.my/Portal/ePengisian/Senarai_Semak_Urusan_Perkhidmatan

13. Berapa tahunkah Pelanjutan Tempoh Percubaan boleh diluluskan?

Mengikut Peraturan 30(5), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012] tempoh percubaan seseorang pegawai hanya boleh dilanjutkan tidak melebihi dua belas bulan, tetapi Suruhanjaya boleh dalam hal keadaan khas melanjutkan tempoh percubaan melebihi dua belas bulan jika difikirkan patut.

Manakala pegawai yang gagal mendapat sokongan Ketua Jabatan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hanya melanjutkan tempoh percubaan selama dua belas bulan sahaja dan diikuti dengan penamatan, jika pegawai masih gagal untuk diberi Pengesahan Dalam Perkhidmatan.

14. Apakah tujuan Pengesahan Dalam Perkhidmatan ?

Pengesahan Dalam Perkhidmatan dilaksanakan berdasarkan Peraturan 29, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U. (A) 1/2012]. Bagi membolehkan seseorang pegawai disahkan dalam Perkhidmatan, pegawai perlu memenuhi semua syarat yang dinyatakan dalam skim perkhidmatan atau apa-apa syarat lain yang ditentukan dari semasa ke semasa. Setiap pegawai yang dilantik dikehendaki berkhidmat dalam tempoh percubaan sekurang-kurangnya minima 1 tahun dan maksima 3 tahun.

15. Apakah dokumen yang diperlukan untuk proses urusan Pengesahan Dalam Perkhidmatan?

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia di Kementerian/Jabatan/Agensi perlu menyediakan dokumen berikut (setelah seseorang pegawai memenuhi syarat pengesahan dalam perkhidmatan) untuk dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam:

    • Perakuan daripada Ketua Jabatan mengikut format Jadual Ketiga Peraturan 29, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U. (A) 1/2012];
    • Salinan kenyataan mengenai pegawai lulus peperiksaan-peperiksaan dan Program Transformasi Minda (PTM) dan kursus atau latihan yang berkenaan yang disyaratkan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan dan tarikh-tarikh menduduki peperiksaan/menghadiri PTM/kursus atau latihan serta salinan-salinan sijil berkenaan;
    • Kenyataan Perkhidmatan yang lengkap dan telah dikemaskini;
    • Borang asal opsyen sama ada bersetuju/tidak bersetuju memilih skim KWSP mengikut format Jadual Kelima, peraturan di atas; dan
    • Surat pertuduhan tatatertib, surat keputusan Lembaga Tatatertib atau perakuan khas Ketua Jabatan, bagi pegawai yang melakukan kesalahan tatatertib dalam tempoh percubaan.Senarai semak bagi Pengesahan Dalam Perkhidmatan boleh diperolehi melalui pautan berikut:
      http://www.spa.gov.my/Portal/ePengisian/Senarai_Semak Urusan_Perkhidmatan

16. Apakah dokumen yang diperlukan untuk proses urusan Pemberian Taraf Berpencen?

Dokumen yang perlu untuk proses urusan Pemberian Taraf Berpencen adalah seperti berikut:

    • Perakuan Pemberian Taraf Berpencen oleh Ketua Jabatan- Jadual Keenam mengikut Peraturan 38, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012;
    • Kenyataan Perkhidmatan yang lengkap dan telah dikemaskini; dan
    • Senarai semak Pemberian Taraf Berpencen.

Senarai semak bagi Pemberian Taraf Berpencen boleh diperolehi melalui pautan berikut:

http://www.spa.gov.my/Portal/ePengisian/Senarai_Semak_Urusan_Perkhidmatan
 

17. Bolehkah seseorang pegawai yang berkhidmat di Badan Berkanun memohon untuk ditukar lantik ke Perkhidmatan Awam Persekutuan ?

Seseorang pegawai yang sedang berkhidmat di Badan Berkanun boleh dipertimbangkan untuk ditukar lantik ke Perkhidmatan Awam Persekutuan sekiranya memenuhi syarat dan mempunyai alasan yang kukuh sebagaimana ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2002. Pegawai juga mesti mempunyai kelayakan akademi yang melepasi tapisan untuk kemasukan ke skim perkhidmatan berkaitan.
 

18. Bolehkah seseorang pegawai yang menjawat jawatan Pegawai Khidmat Pelanggan Gred N17 ditukar lantik ke jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N17 ?
Seorang pegawai yang menjawat jawatan Pegawai Khidmat Pelanggan Gred N17 tidak boleh ditukar lantik ke jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N17 kerana pertukaran pelantikan hanya boleh dipertimbangkan dalam skim perkhidmatan yang sama sahaja. Sekiranya pegawai itu berminat untuk menjawat jawatan lain selain jawatan yang disandang sekarang, pegawai perlu memohon jawatan tersebut dengan mendaftar secara on line dengan mengisi Borang Permohonan Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i) melalui Portal SPA.
 

19. Apakah perbezaan antara pertukaran perkhidmatan dan pertukaran pelantikan dan apakah pekeliling-pekeliling yang perlu dirujuk ?
Pertukaran perkhidmatan adalah pertukaran dalam skim perkhidmatan yang sama di bawah Pihak Berkuasa Melantik yang sama tetapi berada di bawah Ketua Perkhidmatan yang berlainan. Manakala pertukaran pelantikan pula adalah pertukaran dalam skim perkhidmatan yang sama tetapi di bawah Pihak Berkuasa Melantik yang berlainan.

Pekeliling yang perlu dirujuk untuk permohonan pertukaran perkhidmatan ialah Surat Pekeliling SPA Bilangan 1 Tahun 2005 dan bagi permohonan pertukaran pelantikan pula, pekeliling yang perlu dirujuk ialah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2002.

20. Adakah saya perlu menghadiri kursus Program Transformasi Minda sekiranya saya belum menghadiri Kursus Induksi Khusus ?

Berhubung dengan pertanyaan di atas, mulai 1 Januari 2013, semua perbekalan dalam skim perkhidmatan mengenai keperluan hadir dengan jaya Kursus Induksi sebagai syarat pengesahan dalam perkhidmatan adalah dipinda dan digantikan dengan Program Transformasi Minda iaitu mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2012 (sila klik pautan ini http://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2012/pp142012.pdf).

Sebarang pertanyaan mengenai Pekeliling Perkhidmatan ini boleh dirujuk kepada:

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 

Jabatan Perkhidmatan Awam 

Bahagian Perkhidmatan 

Cawangan Pengurusan Kompetensi 

Aras 4-7, Blok 1 

Menara Seri Wilayah, Presint 2

62100 PUTRAJAYA 

No. Telefon: 03-8324 2500 / 2501

No. Faks: 03-83242504 

e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

21. Apakah peraturan yang berkaitan dengan urusan Penamatan Perkhidmatan dan dalam keadaan yang bagaimanakah seseorang pegawai itu boleh ditamatkan perkhidmatan ?

Urusan Penamatan Perkhidmatan dilaksanakan mengikut Peraturan 48, 49 dan 50, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012] jika seseorang pegawai itu telah:

    • menyembunyikan apa-apa maklumat tentang kesihatannya dalam Borang Pemeriksaan Perubatan;
    • membuat akuan palsu dalam Surat Akuan Sumpah (akuan berkanun);
      tidak mematuhi kehendak dalam Surat Aku Janji;
    • meminda atau memalsukan apa-apa dokumen berhubungan dengan pelantikannya;
      gagal Tapisan Keselamatan;
    • gagal mendapat perakuan Ketua Jabatan (prestasi yang tidak memuaskan); dan
    • gagal dalam peperiksaan dan / atau Program Transformasi Minda (PTM) dan / atau lain-lain kursus atau latihan yang disyaratkan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.

22. Apakah peraturan yang berkaitan dengan urusan Pembatalan Tawaran Pelantikan dan dalam keadaan yang bagaimanakah seseorang pegawai itu boleh dibatalkan tawaran pelantikannya ?
Urusan Pembatalan Pelantikan dilaksanakan mengikut Peraturan 20(5), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U.(A) 1/2012] jika seseorang calon / pegawai itu:

    • didapati tidak sihat setelah diperiksa dan diperakui tidak sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan berdaftar; dan / atau
    • tidak mematuhi mana-mana syarat yang disebut dalam perenggan 20(1)(b) iaitu tidak mematuhi syarat-syarat yang terdapat dalam Surat Akuan Sumpah (akuan berkanuan) di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 [Akta 13]; dan / atau
    • tidak mematuhi mana-mana syarat yang dinyatakan di dalam Surat Aku Janji iaitu tidak mematuhi Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], Perintah-perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa sepanjang perkhidmatannya dalam perkhidmatan awam.

23. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh KJ jika pegawai memperolehi sijil sakit palsu dan adakah wajar seorang Ketua Jabatan meluluskan cuti sakit bagi kakitangan yang mengemukakan sijil sakit dari klinik swasta ?


Perlu diingat bahawa sijil sakit yang dikeluarkan oleh seseorang pengamal perubatan berdaftar (doktor) itu adalah sebagai satu perakuan/pengesahan bahawa pegawai kurang sihat dan disyorkan berehat pada tarikh yang dinyatakan. Jika KJ bersetuju dengan pendapat doktor itu maka pegawai bolehlah diluluskan cuti sakit. Pada tarikh pegawai disahkan tidak sihat itu mereka sepatutnya berehat di rumah atau di hospital.

Jika dapat dibuktikan pegawai memperolehi sijil sakit secara tipu/palsu, atau mereka didapati tidak sakit seperti yang dilaporkan oleh doktor, maka KJ boleh tidak meluluskan cuti sakit seperti yang dipohon atau melaporkan kepada pihak polis dan mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap mereka.

Dengan tindakan di atas KJ tidak mempersoalkan integriti doktor yang memeriksa pegawai. Sebaliknya KJ hanya mempersoalkan integriti pegawai terbabit.
 

24. Apakah tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas boleh diambil ke atas seseorang pegawai yang telah ditangkap/ditahan oleh pihak polis atau BPR kerana disyaki melakukan jenayah ?

Tangkapan seumpama ini dianggap sebagai tangkapan kerana membantu siasatan. Ketidak hadiran bertugas bagi tempoh pegawai ditahan itu adalah disifatkan sebagai dengan sebab yang munasabah. Walau bagaimana pun sekiranya pegawai masih tidak hadir selepas dibebaskan sama ada dengan ikat jamin dan sebagainya, maka tindakan tatatertib boleh dikenakan bagi ketidak hadiran selepas dia dibebaskan itu.
 

25. Bagaimana menguruskan masalah pegawai yang melakukan kesalahan tidak hadir bertugas secara tenggelam timbul: kadang-kadang hadir, kadang-kadang tidak ?

Jika ketidakhadiran itu merupakan kesalahan tatatertib, tindakan hendaklah dimulakan sebaik-baik sahaja pegawai melakukan kesalahan tersebut tanpa menunggu sehingga jumlah hari yang mereka tidak hadir itu mencapai jumlah tertentu. Di peringkat awal kesalahan itu dilakukan dan jumlahnya masih sedikit, pegawai sebaik-baiknya diberi nasihat dan bimbingan. Tindakan tatatertib adalah langkah terakhir, iaitu jika tindakan awal tidak berkesan.
 

26. Apakah kesan kepada kakitangan yang tidak hadir bertugas dipanggil semula untuk bertugas dan kemudian dikenakan tindakan tatatertib ? 

Jika ini berlaku seolah-olah pemaafan (condonation) telah diberikan kepada kakitangan terbabit kerana tindakan tatatertib hanya diambil setelah suatu tempoh masa yang panjang.

Integriti seseorang Ketua Jabatan dan agensi sudah pasti akan dipertikai dan diperlekehkan oleh pegawai bawahannya jika Ketua Jabatan tidak bersungguh-sungguh dalam mematuhi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
  

27. Pegawai hanya datang pagi dan petang untuk mengetip kad perakam waktunya. Beliau sebenarnya tidak bertugas. Bolehkah pegawai dikenakan tuduhan ‘tidak hadir bertugas’ ? 

Tuduhan yang sesuai dikenakan kepada pegawai ialah TIDAK HADIR BERTUGAS. Jika tuduhan ini boleh dibuktikan melalui saksi dan bukti berdokumen yang lain (jika ada) yang dapat memperlihatkan tempoh masa beliau tidak bertugas, kesalahan ini sama seriusnya dengan kesalahan tidak hadir bertugas. 

28. Bolehkah tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai yang diketahui menagih dadah ?

    1. Jika pegawai telah menagih dadah sebelum dilantik tetapi tidak diisytiharkan dalam sumpah berkanunnya, pegawai boleh dituduh membuat sumpah palsu. Jika pelantikan mereka belum disahkan, pelantikan itu boleh dibatalkan.
    2. Jika pelantikan pegawai telah disahkan, KJ boleh perakukan supaya pegawai tidak disahkan dalam perkhidmatan dan seterusnya perkhidmatan beliau ditamatkan.
    3. Jika pegawai telah disahkan dalam perkhidmatan dan berusia kurang 40 tahun, tindakan tatatertib hingga ke peringkat buang kerja boleh dipertimbangkan.
       

29. Apakah peranan KJ jika didapati kakitangan bawahannya mengalami keterhutangan kewangan yang serius ?

Ketua Jabatan perlu memantau dan memperingatkan kakitangan di bawah jagaannya supaya mematuhi surat-surat pekeliling dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa. Sekiranya kakitangan bawahannya masih tidak mematuhi surat-surat pekeliling dan berada dalam keterhutangan kewangan serius, Ketua Jabatan perlulah bertanya kepada pegawai bagaimanakah ia menyelenggara kehidupannya. Walaupun mempunyai keterhutangan kewangan yang serius, tetapi pegawai telah menunjukkan prestasi kerja yang baik serta tidak melanggar tatakelakuan perkhidmatan awam dii bawah Peraturan 4, maka tindakan tatatertib tidak perlu diambil. Ketua Jabatan perlulah memantau secara berterusan supaya tidak menjejaskan prestasi kerja dan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa.

AKTIVITI-AKTIVITI

Laporan-laporan aktiviti dikemukakan oleh jabatan/unit yang menganjurkan aktiviti-aktiviti tersebut.Ini dapat menilai kelicinan dan perkembangan status latihan dan kursus yang telah dilaksanakan oleh jabatan/unit berkenaan yang mana laporan perjalanan aktiviti-aktiviti tersebut akan dikemukakan ke JKNT.Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk :

  • Kursus-kursus klinikal di peringkat hospital dan negeri (e.g Kursus Sembelihan, Latihan Dalam Perkhidmatan, Orientasi dan Soft Skill)
  • Kursus-kursus anjuran luar bagi institusi awam (e.g INTIM,ILTIM,Pejabat Agama Negeri Terengganu, Puspanita)
  • Kursus-kursus anjuran swasta
  • Kursus-kursus induksi (Program Transformasi Minda)
  • Latihan teori dan praktikal IPTA dan IPTS
  • Latihan attachment pelajar-pelajar perubatan dalam dan luar Negara
  • Task Force HRMIS berperingkat untuk pengisian LNPT bagi semua anggota HSNZ
  • Hari Bersama Pelanggan Unit Perkhidmatan untuk penyemakan buku servis anggota bagi integriti data
  • HRMIS & Tatatertib bekerjasama dengan Unit Kaunseling untuk memanggil dan mengadakan sesi kaunseling berasingan untuk anggota yang mendapat markah 70 kebawah.

Print